Sunday 10 February 2013

SURAH AL MULK ADALAH SURAH KEAMANAN DAN KESELAMATAN


Surah Al Mulk adalah surah keamanan dan keselamatan, kerana ia menyelamatkan pembaca-pembacanya dari siksa kubur. Sejarah telah membuktikan seperti yang berlaku di zaman Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Ibnu Abbas menceritakan:
“Pernah suatu ketika setengah para sahabat berkhemah di atas kubur. Mereka sebenarnya tidak menyangka tempat itu adalah kubur. Setelah beberapa ketika berada di dalam khemah, mereka tiba-tiba terdengar suara orang membaca Surah Al Mulk dari mula hinggalah akhirnya. Suara itu datangnya dari dalam tanah. Tahulah mereka, sebenarnya mereka sedang berkhemah di atas kubur. Kemudian hal itu diadukan kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam lalu baginda bersabda yang bermaksud: “Surah Al Mulk adalah surah pelepasan kerana ia menghindar pembacanya dari azab neraka.”
Meskipun begitu, Surah Al Mulk juga mempunyai kelebihan-kelebihan yang lain. Di sini penulis bentangkan sebahagian daripadanya sahaja. Diantaranya:
1. Abu Hurairah meriwayatkan hadis, katanya yang bermaksud: “Sesungguhnya di dalam Al-Quran itu, ada satu surah yang mengandungi 30 ayat, ia mensyafaat bagi lelaki yang membacanya. Maka selagi mana lelaki itu membacanya, selagi itu pula ia meminta ampun unutuknya. Surah itu ialah surah Al Mulk.”
2. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Surah Al Mulk itu memelihara dan menghindarkan pembacanya dari azab kubur.”
3. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Aku sungguh gembira, sekiranya orang mukmin sentiasa membaca surah Al Mulk sehingga seolah-olah surah itu tertulis di dalam hatinya.”
4. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa membaca surah Al Mulk setiap malam, diselamatkannya dari azab kubur.”
5. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Sesiapa membaca surah Al Mulk pada mana-mana malam, nescaya datang ke dalam kuburnya surah itu sebagai pengganti untuk bersoal jawab dengan Munkar Nakir.
6. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di dalam Al-Quran ada satu surah yang terkandung 30 ayat. Surah itu ialah surah Al Mulk. Ia akan datang kepada pembacanya untuk membantu bersoal jawab dalam kubur sehinggalah mereka selamat masuk ke dalam Syurga.”
7. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Sebahagian surah-surah yang terdapat di dalam Al-Quran ada satu surah yang mengandungi 30 ayat. Surah itu surah Al Mulk. Ia memberi syafaat kepada orang yang membacanya dengan mengeluarkannya dari Neraka dan memasukkannya ke dalam Syurga.”
8. Ulama berkata: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam tidak akan beradu melainkan setelah membaca surah As Sajadah dan surah Al Mulk.”
9. Ulama berkata: “Sesungguhnya surah Al Mulk itu melepaskan pengamal-pengamalnya dari kena azab. Ia akan bersoal jawab pada hari kiamat di hadapan tuhan kerana menuntut kelepasan mereka yang mengamalkannya dari azab api Neraka.”
10. Saiyidina ‘Ali berkata: “Barangsiapa mengamalkan surah Al Mulk, nescaya dibawa ia pada hari kiamat di atas sayap malaikat serta wajahnya yang cantik seperti nabi Yusuf.”
11. Ulama berkata: “Sesungguhnya surah Yasin dan surah Al Mulk terkandung di dalamnya beberapa rahsia dan kelebihan. Barangsiapa mengamalkannya nescaya ia mendapat rahsia-rahsia dan kelebihan-kelebihan itu serta dikasihi oleh semua manusia dan juga menjadi hebat pada pandangan makhluk.”
12. Saiyidina ‘Abdullah bin Abbas berkata: “Barangsiapa membaca surah Al Mulk sehingga menjadi amalan wiridnya, nescaya ia mendapat bantuan dan pertolongan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam kuburnya. Bila azab hendak datang ke pihak kepala, terdengar satu seruan: “Tidak boleh engkau datang ke pihak kepala ini kerana ada surah Al Mulk.”

Begitulah keadaanya bila azab itu pergi ke pihak kaki dan perutnya. Kerana semuanya mengandungi surah Al Mulk.”

Saturday 9 February 2013

KENALI RABIULAKHIR

Pengertian





Jika Rabiulawwal bererti bermulanya musim bunga bagi tanaman maka Rabiulakhir pula ertinya musim bunga yang akhir. Bulan ini merupakan peringkat akhir bagi tanaman-tanaman berbunga.
Pada waktu itu biasanya tanaman-tanaman di Tanah Arab akan mengalami peringkat akhir berbunga sebelum musim sejuk tiba. Selain dari Rabiulakhir, bulan ini juga dipanggil dengan nama Rabiul Thani yang membawa pengertian yang sama.
Perlu diketahui bahawa itu adalah gelaran nama bagi satu-satu bulan yang pada asalnya nama itu sudah wujud sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w lagi dan setelah Rasulullah mendapati nama-nama bulan itu tidak memberi makna yang buruk maka Rasulullah s.a.w mengekalkannya. Maka sebenarnya nama Rabiulakhir itu sendiri tidak ada perkaitan dengan ketetapan musim bunga atau buah kepada tanaman.
Cuaca, iklim, suhu dan musim adalah berkait rapat dengan peredaran matahari dan bintang-bintang lain sedangkan taqwim Islam Qamari adalah berlandaskan kepada peredaran bulan mengelilingi bumi.
Kesimpulannya, Rabiulakhir yang bermakna musim bunga yang akhir tidak dapat dikaitkan dengan musim bunga sebenarnya, ia hanya sekadar nama bagi bulan itu sendiri.

.



Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Rabiul Akhir




  1. Peperangan - ada beberapa peperangan yang dicatat berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w yang berlaku di bulan Rabiulakhir diantaranya Peperangan Najran, Pengusiran kaum Yahudi Bani Nadir, Peperangan Al-Ghabah / Zi-Qarad dan Peperangan Al-Ghamar.
  2. Pengepungan Damsyik - pada zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a diketuai oleh Abu 'Ubaidah bin Al Jarrah dan Khalid bin Al Walid r.a tahun 14 Hijrah dan seterusnya membawa kepada pembukaan Damsyik.
  3. Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a meninggal dunia dan Saidina Umar Al-Khattab r.a di bai`ah menjadi Khalifah yang kedua.
  4. Peperangan Jamal - tahun fitnah dimana Saidatina Aisyah r.ha terheret dalam kancah peperangan menentang Khalifah Ali r.a.
  5. Ramai sahabat-sahabat yang gugur syahid diantaranya Talhah r.a dan Ibnu Zubir r.a.
  6. Imam Ghazali r.h meninggal dunia.
  7. Ada pendapat yang mengatakan 27 Rabiulakhir adalah tarikh Isra` dan Mi`raj Rasulullah s.a.w (tarikh difardhukan solat). Namun begitu tarikh yang masyhur dan yang diguna pakai di Malaysia ialah 27 Rejab. Sehingga sekarang masih belum ada kajian rasmi individu atau pihak tertentu yang menyemak kembali tarikh sebenar Isra` dan Mi`raj Rasulullah s.a.w.


Fadhilat

Amalan-amalan ibadat sama ada yang fardhu mahupun yang sunat di bulan Rabiulakhir adalah sama dengan bulan-bulan yang lain. Tiada amalan-amalan yang khusus yang dianjurkan oleh Islam dalam bulan ini. Walau bagaimanapun, kita diminta untuk meningkatkan amalan dari masa ke semasa walau dalam bulan mana sekalipun.
Terdapat banyak lagi amalan sunat yang masih kita tak buat atau tak berkesempatan buat. Maka pada bulan ini adalah masa yang sesuai untuk kita mengamalkan ibadah-ibadah sunat yang kita tidak berkesempatan untuk melakukannya sebelum ini.
Disamping kita menjaga dan meningkatkan kualiti amalan-amalan wajib, kita juga mesti cuba memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang kita ketahui. Amalan-amalan sunat adalah penampung atau pelengkap kepada amalan-amalan wajib kita.
Diantara amalan-amalan sunat yang menjadi amalan Rasulullah saw sepanjang tahun ialah solat tahajjud, solat qabliah dan ba`diah, puasa Isnin / Khamis, sedekah, membaca Al-Qur`an dan lain-lain lagi.





Sumber


Rujukan;
1. Jab. Mufti Terengganu, http://mufti.islam.gov.my/terengganu
2. Dr.(H) Hj. Kassim bin Bahali, Jab. Mufti Melaka, jkmmufti@tm.net.my
3. Shaykh Muhammad Saleem Dhorat, Riyadul Jannah ; Gardens of Paradise issue 1 (2004), http://www.riyaduljannah.com
4. Majlis Ugama Islam Singapura,Warita 1996, http://www.muis.gov.sg
Disemak oleh;
1. Dr.(H) Hj. Kassim bin Bahali, Peg. Falak dan Sumber Maklumat, Jab. Mufti Negeri Melaka. 
2. Ust. Mohd Nazri bin Abd. Majid, Peg. Hal Ehwal Islam, Jab. Mufti Negeri Melaka.
 
3. Ust. Mohd Ali bin Zainal, Pen. Peg. Hal Ehwal Islam, Jab. Mufti Negeri Melaka



TAHUKAH ANDA? DISEBALIK VALENTINE DAY...

Assalamualaikum W.B.T
Kita pada hari ini masih lagi dikurniakan nikmat Islam dalam diri dan hati yang sentiasa bertasbih ini.Semoga keimanan ini terus berkekalan dalam jiwa dan nurani kita. Insya-Allah...Hari ini memandangkan saya mempunyai kelapangan sebelum pulang ke maktab pada keesokan hari, saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat tentang Hari Valentine atau Hari Kekasih yang ramai antara kita tidak mengetahui kejadian disebalik peristiwa tersebut lalu menyambutnya. Diharapkan dengan perkongsian ini dapat mengubah pemikiran kita ke arah yang lebih baik.


Tarikh 14 Februari sering menjadi bualan dan dinanti-nantikan oleh pasangan remaja yang bercinta. Tanggal tersebut seolah-olah menjadi hari terbaik bagi mengungkapkan rasa kasih sayang antara pasangan kekasih. Amalan ini bagaikan sudah meresap dalam masyarakat kita hari ini. Media tempatan juga menjadikan hari Valentine sebagai satu perayaan yang perlu disambut dan diraikan pada setiap tahun. Pelbagai rancangan dan program diadakan bagi meyemarakkan hari Valentine ini.
Valentine dalam sejarahnya jelas berkait dengan budaya Kristian yang menyatakan Hari Valentine bermula dengan kisah kematian seorang Paderi yang digelar St. Valentine. St Valentine dibunuh oleh seorang Raja Romawi yang diberi nama Raja Claudius pada 269 hingga 270 Masihi.
Kisah pembunuhan itu menyebabkan St. Valentine diabadikan sebagai tokoh yang hebat dalam mempertahankan cinta dan dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian dalam menghadap cubaan hidupnya. 14 Februari lantas diangkat oleh masyarakat Kristian sebagai upacara keagamaan dalam memperingati St. Valentine yang mati dibunuh.
Terdapat juga pendapat lain yang mengaitkannya Valentine dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun.
Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia daripada gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih dua pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu diadakan perarakan besar-besaran yang diketuai dua pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan mereka.
Pendapat lain mengatakan Valentine ini dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.
Pendapat keempat pula menyatakan sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawan burung yang jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.
Ken Swiger dalam artikelnya Should Biblical Christians Observe It? pula menjelaskan, kata “Valentine” berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud, “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat dan Maha Kuasa”. Kata ini ditujukan kepada Nimroe dan Lupercus, tuhan orang Romawi”.
Tanpa disedari, ketika kita meminta orang menjadi ‘to be my Valentine’, bermaksud kita meminta orang menjadi ‘Sang Maha Kuasa’. Perbuatan ini jelas membawa kepada perbuatan syirik dengan menyamakan makhluk dengan Allah. Selain itu, ikon si Cupid (bayi bersayap dengan panah) yang sering digunakan semasa hari Valentine adalah putra Nimrod “the hunter” iaitu dewa matahari.
Semangat Valentine ini jelas bertentangan dengan simbol-simbol syirik yang hanya membawa kepada rosaknya akhlak remaja. Perbuatan meraikan hari Valentine ini sememangnya bercanggah dengan syariat Islam kerana ianya mempunyai unsur kepercayaan agama Kristian yang boleh merosakkan akhlak.
“Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka.” Hadis Direkodkan oleh Imam Abu Dawud.
Peniruan budaya barat ini yang jelas terpesong daripada akidah Islam ini salah di sisi agama Islam. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah dalam Surah Al-Kafirun, ayat 1 hingga 6 yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.”
Menyedihkan apabila terdapat segelintir pihak sanggup menaja majlis sambutan Hari Kekasih dan menjual barang-barang cenderahati bagi mempengaruhi remaja memperingati hari tersebut sehingga mengheret ke lembah makisat. Ironinya, remaja menganggap sambutan ini sebagai simbol kecintaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada pasangan. Islam melarang umatnya berlebih-lebihan dalam bercinta sehinggakan sanggup menyerahkan maruah kepada pasangan yang dicintainya. Sesungguhnya perbuatan ini juga bercanggah dengan syarak kerana ianya menyumbang kepada berlakunya perkara maksiat dan zina.
Firman Allah dalam Surah Al-Israa ayat 32 menjelaskan, “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang membawa kepada kerosakan.”
Sikap orang Islam terutamanya generasi muda berbangsa Melayu di Malaysia yang menyambut Hari Valentine hanya bertujuan untuk meniru budaya yang diambil dari barat. Bagi mereka budaya barat yang yang diamalkan mencerminkan corak hidup yang sesuai pada zaman yang serba moden ini. Maka, kita melihat generasi muda Melayu berebut-rebut mengamalkan gaya hidup orang barat seperti mentatu tubuh, mewarnakan rambut, memakai pakaian yang menjolok mata, mengamalkan pergaulan bebas, mengunjungi disko-disko yang dihidangkan minuman keras dan lain-lain lagi.
Islam sendiri memberi garis panduan yang jelas dan membenarkan hubungan kasih sayang sesama manusia dalam kerangka syariat. Hubungan kasih sayang kepada ibu bapa, keluarga, sahabat dan sesama masyarakat boleh diterapkan setiap hari bagi mendapat perlindungan dan rahmat daripada Allah
(Sesunguhnya manusia itu sentiasa lalai dengan godaan syaitan dan nafsu. Pulanglah kepada Allah s.w.t kerana keimanan dan ketakwaan merupakan senjata utama dalam diri.)

Friday 8 February 2013

Berpegang Pada Al 'Asr

Alhamdulillah kita masih lagi bernafas di muka bumi Allah ini, menyedut udara yang masih lagi segar dan menikmati segala keindahan yang dikurniakan olehNya. Semoga setiap perbuatan kita akan diberkati Allah. Insya-Allah..

'masa itu emas' kita seringkali mendengar cogan kata tersebut..Tetapi adakah kita faham akan maksud yang tersirat? Mengamal dengan apa yang tersirat? Ramai antara kita yang hanya memandang enteng dengan perkara tersebut seolah-olah tidak ada apa-apa makna dalam hati kita. Ingatlah bahawa Allah ada berfirman didalam surah Al-'Asr ayat 1-3
"sesungguhnya manusia dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan yang berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran"
kita semua dalam kerugian masa tanpa kita sedari kerana kelalaian kita dalam mengatur kehidupan..Masa senggang yang ada seringkali disalah gunakan dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah..

Ingatlah wahai sahabat-sahabat sekalian, jika kita ditakdirkan mati pada waktu tersebut, bagaimanakah keadaan kita? dapatkah kita bermohon kepada Allah untuk patah semula kepada waktu tersebut untuk memperbanyakkan amalan kita? tidak sekali-kali wahai sahabat. Kita semua ada 5 perkara sebelum diberikan lagi 5 perkara. Ramai yang tahu tetapi tidak menggunakannya dengan sebaik mungkin.

Kita diberikan kesempatan untuk hidup supaya dapat membuat amal jariah dan mengumpulkan seberapa banyak amalan sebagai bekalan di sana kelak sebelum kita mati. Tubuh badan yang sihat untuk melakukan ibadah kepada Allah sebelum kita sakit. Masa muda yang bertenaga untuk  melakukan segala kebaikan yang terbuka luas di depan kita sebelum kita tua tidak bermaya. Masa lapang untuk diluangkan dengan perkara berfaedah sebelum diberikan kesempitan waktu. Yang terakhir ialah kekayaan yang dikurniakan sebelum terjatuh muflis sebagai orang miskin.

Jadi, kita seharusnya memanfaatkan masa yang terluang dengan sebaik mungkin kerana 
'we may delay, but time will not'. Masa tidak akan menunggu kita dan kitalah yang sepatutnya mengejar masa. Harap kita dapat mengambil iktibar dari segala yang disampaikan. Insya-Allah