Zulhijjah & IdilAdha :
Beberapa Isu & Hukum
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
KULLU 'AM WA ANTUM BI KHAIRIN..
KULLU 'AM WA ANTUM BI KHAIRIN..
Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan
peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan,
keampunan dan pahala amalan.
Disebutkan oleh Nabi SAW :
"Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu"
(Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).
Allah SWT pula berfirman :
وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ
"Demi Fajar dan hari-hari (malam-malam) yang sepuluh" (
Al-Fajr : 1).
Majoriti ulama menyatakan malam sepuluh itu merujuk kepada hari
pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad
Al-Ma'ad, Ibn Qayyim).
Perlukan difahami di dalam lafaz bahasa arab, malam juga membawa
maksud siang dalam konteks tertentu, demikian juga sebaliknya. Malah Imam Ibn
Abbas sendiri menafsirkan perkataan malam itu dengan katanya
وعن ابن عباس أيضا أنه
النهار كله ، وعبر عنه بالفجر ; لأنه أوله
Ertinya: dari
Ibn Abbas juga beliau berkata : itu termasuk siang seluruhnya, dan itu jelas
dari perkataan fajar yang dimulakan, dan siang terlebih dahulu. (Tafsir
Al-Qurtubi)
Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain :
"Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk
hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini" (Riwayat
Al-Bukhari).
AMALAN-AMALAN UTAMA
Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal
Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-
a) Zikir : Iaitu dengan
memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan
Allahu Akbar.
Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh
Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka
menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta
memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.."
(Al-Hajj : 28).
Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah
sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.
b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah
bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah
hari yang terbaik untuk berpuasa.
Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :
"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya
lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).
Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari
Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.
c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain.
Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai
oleh Allah SWT.
d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih
berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan
melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.
Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa
hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.
e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa
permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung
waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.
f) Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya
: "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut :
وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا
مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب
Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban)
mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)
Sebuah hadis menyebut :
ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من
إهراق الدم
Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh
Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih
binatang)" ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi
yang dipertikaikan )
POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN
Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang
mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama
termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab
r.a, Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat
ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.[1]
Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal
untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia
berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-
من أراد أن يضحي فدخل العشر فلا
يأخذ من شعره ولا من أظفاره شيئاً حتى يضحي
Ertinya : Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan
telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut
atau kukunya SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" ( Muslim, 3/39
)
Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian
Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.
Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana
Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan
membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a
menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk
menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih
riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh
mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.
QURBAN DENGAN BAYAR SEDEQAH DUIT
TANPA WAKIL SEMBELIHAN
TIDAK DIBENARKAN juga berkorban hanya
dengan membayar harganya atau
membeli daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat
Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya Qurban yang
disyariatkan di hari raya Aidiladha.
Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya
sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah,
Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain. [2]
Adalah diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana
Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan
bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.
Firman Allah :
لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا
وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا
لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ
Ertinya : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak
dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat
mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu
mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira
kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)
KONGSI LEMBU
Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu
dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith
Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. [3]
Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan)
atau menghadiri majlis sembelihan.
Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada
Fatimah yang ingin berqurban :
احضري أضحيتك، يغفر لك بأول قطر من دمها
Ertinya : "Hadirkanlah
dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu
yang pertama"
MEMATAHKAN TULANG DAN TANDUK BINATANG
QURBAN
Majoriti ulama mengharuskannya mankala tegahan untuk mematahkan
tulang hanya di dalam hal aqiqah dengan doa ia menjadi kebaikan kepada si bayi
berdasarkan hadith riwayat Al-Bayhaqi
السنة شاتان مكافئتان
عن الغلام وعن الجارية شاة, تطبخ جدولا, لا يكسر لها عظم
Ertinya : Sunnah adalah dua ekor kambing bagi
anak lelaki dan seekor bagi perempuan, dimasak dan TIADA dipecahkan tulangnya.
( Riwayat Al-Bayhaqi dan Al-Hakim)
Namun tiada sebarang nas atau dalil yang menegah dalam bab
sembelihan Qurban.
BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN
Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian
biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.
Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka
lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.
QURBAN DI LUAR KAWASAN
·
Hukum asal, yang terbaik adalah sembelih dengan tangan sendiri di
dalam kawasan bagi manfaat orang sekeliling.
·
Namun, diHARUSKAN mewakilkan seseorang menyembelih di luar kawasan
kerana hukum daging Qurban boleh disimpan dan diagihkan kepada sesiapa jua sama
ada di dalam kawasan atau mereka yang di luar.
·
Pun begitu, ulama Mazhab Shafi’e TIDAK MEMBENARKAN dipindah keluar
kawasan jika di dalam masih terdapat yang memerlukan. Demikian pendapat
sebahagian ulama kontemporari (Ibn Uthaimin & Majlis Fatwa Kuwait) kerana
kehilangan maslahat sebenar dari udhiyyah. bayangkan apabila kita mewakilkan
seseorang lain melaksanakan qurban itu sudah menyebabkan kita terluput dari
melaksanakan sunnah sembelihan dengan tangan sendiri sebagaimana Rasulullah
TIDAK PERNAH mewakilkan sembelihan baginda kepada orang lain. Malah sewaktu
hari raya Qurban berlangsung, bagi mereka yang mewakilkan kepada pihak lain,
apakah yang dapat mereka rasakan dari ibadah Qurban kecuali hanya seolah
menyedeqahkan wang sahaja, sepatuttnya Qurban MELEBIHI DARI hanya sekadar
sedeqah wang dan makanan, ia adalah suatu ibadah khas menghidupkan syiar dalam
komuniti dan diri.
GABUNG QURBAN DAN AQIQAH
·
Mazhab Syafi’e, Maliki & Pandangan Ahmad : Tidak boleh kerana
maksud keduanya berbeza. Qurban objektifnya untuk diri dan menaikkan syiar
Allah, manakala aqiqah adalah tanda kesyukuran atas kurniaan anak. Imam
Ibn Hajar Al-Haithami Al-Syafie :
وَظَاهِرُ كَلَامِ َالْأَصْحَابِ أَنَّهُ لَوْ نَوَى بِشَاةٍ
الْأُضْحِيَّةَ وَالْعَقِيقَةَ لَمْ تَحْصُلْ وَاحِدَةٌ مِنْهُمَا ، وَهُوَ
ظَاهِرٌ ; لِأَنَّ كُلًّا مِنْهُمَا سُنَّةٌ مَقْصُودَةٌ
Ertinya: Yang jelas dari perkataan ulama mazhab, iaitu jika
diniatkan seekor kambing untuk qurban dan aqiqah sekaligus, TIADA DIPEROLEHI
SALAH SATU ANTARA KEDUANYA,
kerana keduanya sunnah yang maqsudah atau khas pada tujuan tertentu.
·
Pun begitu, Mazhab Hanafi, Pandangan Ahmad, Alhasan Basri, Ibn
Sirin & Qatadah serta Majlis Fatwa Kuwait : Harus di gabung semua dengan
niat Qurban, atau sebahagian qurban dan sebahagian aqiqah.
·
Pandangan yang terpilih adalah tidak menggabungkannya jika punyai
kemampuan.
PEMBAHAGIAN DAGING
Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI
BERIKUT :
1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,
1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan
saudara mara dan
1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.
Ia berdasarkan firman Allah SWT :
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ
الْفَقِيرَ
Ertinya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang
yang susah dan faqir." (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah :
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ
وَالْمُعْتَرَّ
Ertinya "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang
memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)
Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas
r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut
cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA. [4]
UPAH KEPADA TUKANG SEMBELIH DAN LAPAH
SERTA JUAL DAGING QURBAN
Bagaimanapun DILARANG untuk memberikan tukang-tukang lapah dan
penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal),
bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau
diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah. Ini berdasarkan sebuah
hadis
وأمرني أن لا أعطي الجازر شيئا- البخاري
Ertinya : Rasulullah mengarahkan aku agar TIDAK memberi pelapah
sesuatu apa (upah) pun. ( Riwayat Al-Bukhari)
Pun begitu, boleh diberikan daging qurban sebagaimana orang lain.
TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya.
Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang
hasil Korban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. [5]
DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi
3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim.
MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR
Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab
mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi
mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. [6]
Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama
dalam hal ini.
BERQURBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG
Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berkorban
sekali setahun demi tawaran pahalanya?.
Saya telah banyak mengulas berkenaan hutang dan pendirian Islam
berkenaannya. Sila rujuk di sini. Justeru, untuk menentukan
keutamaan samada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah kurban kita perlu
melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang
yang berhutang.
Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang
pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki
wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan
hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang
dijanjikan.
Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan
akan datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu
barulah ibadah kurban menjadi utama untuk dilaksanakan.
Ia amat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad sahaja
menurut majoriti mazhab mankala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib.
Jika disebabkan oleh ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan
pemberi hutang pula ‘TERKORBAN', hubungan persaudaraan ‘terkorban', atau hingga
menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama
sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding
berkorban. Demikian pandangan ringkas saya.
SEMBELIH QURBAN GUNA AYAM
·
Asal hukum mesti bahimatul al-an’am sebagaimana disebut di dalam
Al-Quran. Ayam tidak tergolong dalam kategori itu.
·
Bagi mereka yang tidak mampu, gugurkan kesunatan Qurban dari
mereka, namun jika mereka ingin sembelih ayam sebagai ganti, ia hanya menjadi
sedeqah biasa. Diriwayatkan Ibn Abbas pernah membeli daging dengan harga satu
dirham dan berkata nah, inilah qurban Ibn Abbas, iaitu secara majaz.
QURBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT?
Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini.
Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan budjet tertentu untuk membeli dua
puluh ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat?
Jawab ringkas saya:
"tidak boleh !"
Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu
atau untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia.
Justeru, ia sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI menghadiahkannya
kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya.
Ketika itu korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu
yang ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat
terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya
DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK DILAKSANAKAN sembelihan atau
korban, pahala korban akan hanya diperolehi oleh individu dan pihak organisasi
pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana
‘menghadiahkan' lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.
Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia
mestilah meletakkan secara specific 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga
pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi individu.
BINATANG YANG DIKONGSI
a) Yang boleh dikongsi : Lembu, Unta,
Kerbau
Dalilnya dari hadis :
(شرك رسول الله صلى الله عليه وسلم في حجته بين المسلمين في البقرة
سبعة ( رواه أحمد. وهو قول أكثر أهل العلم
Ertinya: Rasulullah berkongsi sewaktu Hajinya bersama kaum
Muslimin, seekor Lembu dibahagi tujuh bahagian. (Riwayat Ahmad)
b) Yang tidak boleh dikongsi (Ijma’
ulama) : Kambing, kibash dan sepertinya. Adapun kongsi pahala,
terdapat khilaf dan sebahagian mengHARUSkannya.
KONGSI PAHALA QURBAN
a) Ketua keluarga diHARUSkan
menyembelih satu bahagian lembu atau kerbau atau unta dan diniatkan pahalanya
kepada keluarganya. Ini sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda Nabi saw.
b) Namun untuk kongsi pahala
dengan seluruh syarikat atau negara, ia tidak dilakukan oleh shabat nabi. Hanya
Nabi sahaja yang berqurban dan menyatakan "ini adalah untuk ummatku yang
tidak berqurban. Disebutkan di dalam sebuah hadis bahawa Nabi membaca doa
ini semasa ingin menyembelih:
وقال: بسم الله، اللهم تقبل من محمد وآل محمد، ومن أمته
Ertinya: Nabi berkata : Dengan Nama Allah dan ya Allah
terimalah dari Muhammad dan keluarga Muhammad dan ummatnya.
SIAPA PATUT MULAKAN QURBAN?
Jawabnya adalah imam di sesuau tempat tersebut dan diikuti dengan
orang ramai, demikian sunnah Nabi s.a.w berdasarkan hadith :
وقال ابْن عُمَرَ: إن النَّبِىّ، عليه السَّلام، كَانَ يَنْحَرُ
وَيَذْبَحُ بِالْمُصَلَّى
Ertinya: Berkata Ibn Umar r.a ertinya : Nabi melaksanakan
sembelihan sedang baginda berada di kawasan solatnya.
قال مالك: إنما يذبح الإمام فى المصلى لئلا يذبح أحد قبله
Ertinya: Berkata Imam Malik : Imam menyembelih di kawasan solat
dan agar tiada yang menyembelih satu orang pun sebelumnya
PAKAH HAJI AKBAR ?
Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah
sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan
Albani).
Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah itu
Haji Akbar, beliau menjawab:
"Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama).
(Riwayat at-Tirmidzi)
Menurut Ulama itulah yang dimaskudkan di dalam ayat surat
At-Taubah.
Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan
Haji Akbar itu adalah Hari Arafah [7]. Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan
Ibn Umar r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari arafah yang
jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji
biasa, Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar,
semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Ia berdasarkan satu hadith
yang diriwayat oleh Razin dalam Tajrid as-Sihhah, bagaimanapun al-Munawi
menolak hadith itu dengan katanya "tiada asalnya".
Kesimpulannya : Terdapat para sahabat
mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang jatuh pada hari jumaat,
mankala Ali k.w pula mengatakan ia adalah hari Qurban pada 10 zulhijjah dan
setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wuquf di Mina ( hari
Tasriq).
Akhirnya, adalah amat perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya
‘Idil adha ini menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat
Islam di seluruh dunia ( kecuali jika benar-benar sesebuah Negara itu mengikut
rukyah), tanpa rukyah maka kiraan yang terbaik adalah dengan menuruti Saudi.
Dengan itu, kekeliruan yang sering berlaku sebagaimana mencari Lailatul Qadar
dan hariraya idilfitri akan berterusan. wallahu 'alam
Sekian
Doha, Qatar
27 Dis 2006 ( 7 Zulhijjah 1427 H)
Kemaskini : 16 Disember 2007 ( 6 Zulhijjah 1428 H - Malaysia ; 7
Zulhijjah 1428 H - Saudi)
KEMAS KINI : 29 Nov 2008 ( 1 Zulhijjah 1429 H )
KEMAS KINI : 16 Oktober 2012 ( 30 ZulQaedah 1433 H)
[1] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/ 197
[2] Al-Majmu, 8/425 ; Al-Mughni,
9/436
[3] Al-Majmu, An-Nawawi, 8/313
[4] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/200
[5] Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusd
Al-Hafid, 1/321 ( cet Maktabah al-Riyadh al-Hadithiyah) ; Rawdah At-Tolibin,
An-Nawawi, 3/225
[6] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/201
[7] Ahkam al-Quran, Al-Jassas